Mulakan Kehidupan dengan Kematian
Mulakan Kehidupan dengan Kematian
Setelah sekian lama saya jarang berkongsi, kali ini saya mulakan daripada asas.
Perkara asas iaitu perkongsian tentang Mulakan Kehidupan dengan Kematian.
Satu perkara yang pasti dalam hidup kita ialah sesuatu yang bernyawa pasti merasai mati.
Setiap apa yang wujud di alam ini bersifat sementara tiada apa yang kekal termasuklah kehidupan kita ini.
Bila kita dah tahu mati itu pasti, pernahkah kita mulakan kehidupan dengan kematian terlebih dahulu?
Pernahkah kita terfikir disaat kita mati bagaimanakah keadaannya? Siapakah yang berada di sekeliling kita?
Pernahkah kita terfikir adakah sesampai masa penamat adakah kita sudah hidup sepuas-puasnya? Atau kita sebenar menyesal tak sudah kerana tidak hidup sebenar-benar hidup, sepuasnya?
Adakah selama yang kita buat ini penting? Adakah selama yang kita buat ini membawa manfaat pada jangka masa panjang?
Adakah usaha, masa yang kita laburkan selama ini membawa kesenangan pada masa akan datang setelah tiadanya diri kita?
Jika tidak, susun semula kehidupan kita bermula pada saat kematian, bukan pada ketika masa lepas atau sekarang tetapi akan datang. Mulakan daripada penamat sehingga kini.
Senaraikan apa yang kita mahu jadi, buat dan dapat pada setiap peringkat usia.
Sebagai contoh peta kehidupan yang saya rangka.
Dalam setiap kehidupan bagi saya, ada 4 teras utama yang perlu kita jaga. Kalau tidak jaga keempat-empat teras kehidupan ini, kita akan rasa sangat sia-sia dan tak bermakna.
4 teras kehidupan:
- Kesihatan
- Kekeluargaan & Perhubungan
- Keagamaan
- Kewangan
Contoh Mulakan Kehidupan dari Kematian:
40an
- 45 Tahun: Saya fikir penamat bagi kehidupan saya ialah ketika usia 40 tahun. Pada masa itu sama ada saya capai RM100 juta sales (Kewangan) atau naik langit (Keagamaan) atau kedua-duanya sekali. Itu sahaja.
- 40 Tahun: Berkahwin (Perhubungan) dengan wanita idaman.
- 40 Tahun: Memiliki 10KG jongkong emas (Kewangan).
30an
- 35 Tahun: Mempunyai 5 buah hartanah (Kewangan).
- 33 Tahun: Memiliki & menikmati kereta idaman Maserati atau Aston Martin model terkini (Kewangan).
- 31 Tahun: Menunaikan haji (Keagamaan).
- 30 Tahun: Jana pendapatan RM20,000 bersih sebulan selepas cukai (Kewangan).
20an
- 27 Tahun: Mempunyai tubuh badan yang sihat dan cergas (Kesihatan).
- 25 Tahun: Hantar kedua ibu bapa saya pergi umrah dengan mudah (Keagamaan/Kekeluargaan).
- 25 Tahun: Memiliki 25 gram emas 999 (Kewangan).
- 24 Tahun: Mempunyai laptop gaming (Kewangan).
- 24 Tahun: Mempunyai 3,000 database niche bisnes yang responsif (Kewangan).
- 23 Tahun: Mempunyai motorsikal sendiri (Kewangan).
Dan banyak lagi sebenarnya. Ini sekadar contoh supaya anda nampak bagaimana mahu mencipta kehidupan yang luar biasa.
Ramai orang fikir;
“Andai saya tak capai semua benda ini macam mana?”
“Andai saya semua yang saya tulis ini jadi angan-angan sahaja macam mana?”
Sejujurnya, bagi saya lebih baik kita ada impian dan matlamat sendiri berbanding daripada jadi orang yang langsung tak tahu apakah impiannya lantas hidup sekadar hidup.
Mungkin kita tak capai segala-galanya apa yang kita hajati, tetapi andai kita capai 50%, 30%, 10% walaupun 1% sahaja daripada impain yang kita tulis. Adakah kehidupan kita bertambah baik? Itu lagi utama.
Berani berimpian.
Tingkatkan Kejayaan Target yang Telah Ditetapkan
Mungkin ada yang tertanya-tanya, boleh percaya ke? Boleh dapat ke apa segala apa target yang kita tulis?
Jawapannya, bergantung. Kalau apa yang kita mahu itu kita tidak percaya atau tidak yakin dapat maka itulah yang berlaku.
Jika kita yakin dan percaya maka itulah juga yang akan berlaku dalam hidup kita.
Kita Mempunyai Kapasiti
Kapisiti?
Maksudnya…
#1: Kita jelas-sejelasnya dengan apa yang kita nak.
Bila kita minta: Aku nak jadi kaya. Tak cukup.
Aku nak jadi kaya sebelum umur 40 tahun juga tak cukup.
Jelas-sejelasnya berlaku apabila kita dapat membayangnya sebagaimana kita telah mengalami perkara tersebut berlaku.
Maksudnya kita dapat melihat, menyentuh, merasai dengan perasaan, bergerak dengan pergerakkan, menghidu, mendengar dan merasai dengan lidah jika ada.
Contoh aku nak jadi kaya dengan jelas:
Di kala pagi hari yang indah, sambil menikmati sarapan pagi di tepi pantai. Saya dapat banyak notifasi emel yang menyatakan order telah masuk dengan mudah semudahnya tanpa perlu saya menguruskan order tersebut kerana semua sudah diautomasikan.
Atau,
Setiap bulan saya menerima banyak cek daripada pelbagai syarikat/individu dan nilainya melebihi RM20,000.
Atau,
Setiap minggu saya berjaya withdraw RM4,000 dengan mudah semudahnya daripada trusted broker.
Atau,
Setiap masa duit sentiasa masuk ke dalam akaun bank tanpa perlu saya bekerja dan tak kira di mana saya berada.
Selagi mana kita dapat membayangkan dan mengalaminya dengan penuh emosi nescaya ia telah berlaku sebelum berlaku.
#2: Buat persiapan awal sebelum peluang datang secara tiba-tiba.
Sepanjang kita hidup ini, saya yakin semua orang pernah dapat peluang keemasan secara tiba-tiba. Bukan satu atau dua kali, bila difikirankan kembali, banyak kali peluang datang. Adakalanya dapat, adakalanya terlepas.
Persoalannya kenapa kita tak dapat? Sedangkan ia peluang keemasan?
Kebiasannya kita semua tahu halangan yang menghalang kita daripada menerima peluang tersebut sama ada dari segi kewangan, masa, kemahiran atau asbab lain lagi.
Kalaulah saya duit…
Kalaulah saya ada masa…
Kalaulah saya berani…
Kalaulah…
Bermacam-macam yang menghalang kita.
Dan dengan ketahui apa yang kita tahu sekarang, bagaimana kita nak bersedia supaya apabila peluang datang kembali kita dapat mengambilnya dengan mudah?
Buatlah persiapan yang sepatutnya.
Sama juga dari segi wang ringgit (harta/kenderaan/atau sewaktu dengannya), masa, kemahiran atau lain-lain.
Kita tahu, suatu hari nanti mahu memiliki kenderaan sendiri dan ada tawaran menarik maka bila kita sudah bersedia rebut sahaja peluang tersebut.
Kita tahu, suatu hari nanti akan pakej percutiaan yang menarik dan telah membuat persiapan terlebih dahulu maka rebut sahaja peluang tersebut.
Kita semua tahu dan ia pasti berlaku, persoalannya adakah kita sudah bersedia?
#3: Kita sanggup membayar harganya.
Dalam apa sahaja keinginan yang kita mahu, impian yang mahu dicapai pasti ada harga yang perlu dibayar terlebih dahulu.
Dunia tak berhutang apa-apa dengan kita.
Kenapa dunia perlu bagi sesuatu kepada kita sedangkan diri sendiri tak pernah beri sesuatu kepada dunia?
Dalam maksudnya lain, katakanlah kita mahu jadi jutawan, adakah kita layak menjadi salah seorang daripada golongan tersebut?
Adakah kita sudah membayar pada harga yang setimpal? Melabur puluhan ribu malahan ratusan ribu ringgit. Sudahkah kita membayarnya?
Ramai orang nampak orang kaya hidup senang-lenang, tetapi tak ramai orang nampak berapa banyak pengorbanan yang dia telah lakukan.
Bila dikaji semula, berpuluh tahun masa diambil. Kerugian yang tak terkira. Kehilangan, kekecewaan yang dialami sangat besar dan berat. Tetapi mereka tetap meneruskan.
Itulah yang membezakan orang biasa-biasa dengan orang yang benar-benar kaya.
Ramai orang terujua 9/10 rezeki datang daripada perniagaan. Tetapi tak ramai orang nampak 9/10 ujian/kesusahan bakal menimpa diri.
Tetapi bila kita sanggup membayarnya, menempuhnya. Ganjaran setimpal akan diberi.
Jika tidak sanggup, kejayaan serta kekayaan yang dimiliki tidak akan berkekalan.
#4: Beri apa yang kita mahu.
Cara paling cepat dan mudah untuk dapatkan apa yang kita mahu ialah dengan beri apa yang kita hajati terlebih dahulu.
Kalau kita mahu duit, beri duit.
Kalau kita mahu keseronokkan, beri keseronokkan.
Kalau kita mahu sesuatu yang bernilai, beri sama atau lebih nilainya.
Tetapi bagaimana kita mahu memberi sedangkan kita tiada apa-apa?
Inilah kesilapan ramai orang buat. Kita fikir dalam hidup kita tiada apa-apa yang boleh berikan.
Sedangkan selama kita hidup bermacam-macam yang bernilai ada di dalam diri kita. Cuma diri sendiri sedar atau tidak akan nilai tersebut.
Dan pemberian yang sebenar-benarnya ialah ketika kita tiada apa. Duit di dalam tangan tinggal RM10, kita sedekah RM5 atau kesemuanya.
100% berserah kepada rezeki dan Ilahi.
Kalau kita boleh buat sebegitu, tahap kebergantungan kita tiada tandingannya.
Memberi yang sebenar-benarnya bukan sekadar memberi serta mengharapkan balasan tetapi ia ada cara yang tersendiri.
Ada orang memberi tetapi terlalu mengharapkan balasan. Buat ini untuk itu. Seterusnya kecewa kerana tak dapat seperti yang dijangkakan. Itu bukanlah memberi tetapi pelaburan.
Bila kita memberi yang sebenar-benarnya. Kita sebenarnya mahu berkongsi atau membantu, tiada mengharapkan apa-apa balasan pun.
Jika ibu bapa atau ahli keluarga kita berada dalam kesusahan, selepas itu kita membantu mereka dengan memberi apa yang kita termampu, adakah kita akan mengharap semula balasan daripada mereka? Sudah tentu tidak jika nak dibandingkan berjuta jasa dan rasa yang mereka telah curahkan kepada kita.
Jadi, semua orang boleh memberi tetapi tak semua orang boleh memberi dengan sepenuh hati dan serasi.
Dan memberi yang sebenar-benarnya terbahagi kepada 3 fasa.
Fasa sebelum, semasa dan selepas.
Sebelum Memberi:
Tentukan dengan jelas apa yang kita mahu beri. Niat kena betul, jika memberi untuk dapatkan sesuatu, baik tak payah memberi atau membantu.
Semasa Memberi:
Ini bahagian paling penting, semasa kita memberi jika ada rasa emosi negatif seperti rasa tak cukup, rasa was-was atau rasa tak seronok maka kita akan dapat balik semula apa yang kita beri berganda-ganda.
Oleh sebab itulah semasa memberi wajib berada dalam keadaan emosi paling positif yakni berterima-kasih atau seronok kerana kita dapat balik emosi yang sama, berganda-ganda. Seterusnya niatkan segala yang kita beri kerana Allah SWT dan pahalanya pula sedekahkan kepada kedua ibu bapa kita.
Selepas Memberi:
Lupakan pemberian tersebut. Tak perlu ingat atau ungkit atau ceritakan kepada orang lain atau media social. Biarlah rahsia, tiada siapa yang mengetahuinya. Jangan mengharapkan atau menantikan balasan.
Memberi sebab kita mahu dan suka, bukan kerana terpaksa. Sebab bila suka, kita langsung tak mengharapkan apa-apa. Ibarat kita memberi hadiah kepada kekasih atau sahabat baik atau keluarga kita, adakah kita mengharapkan mereka memberi sesuatu kembali kepada kita? Sudah tentu tidak bukan. Kita beri sebab kita suka.
Dan itulah maksud kapasiti yang sebenar-benarnya.
Apabila kapasiti sudah tersedia, ia akan terisi dengan sendirinya.
Apabila persediaan sudah mencukupi, kejayaan akan hadir dengan sendirinya.
Kesimpulan: Ini Apa yang Perlu Kita Buat
- Mulakan dengan kematian. Adakah hidup kita selama ini penuh dengan penyesalan atau kepuasan?
- Senaraikan setiap peringkat umur sama ada 10 tahun sekali atau 5 tahun sekali.
- Dan pada setiap peringkat umur senaraikan impian yang mahu kita capai berdasarkan 4 teras kehidupan yakni dari segi:
- Kesihatan
- Kekeluargaan & Perhubungan
- Keagamaan
- Kewangan
- Sebaik-baiknya letak gambar, tambah ayat emosi sebagaimana kita sudah memiliki dan mengalaminya.
- Pada setiap impian tambah ayat: …ini atau sesuatu yang lebih baik. Dan tambah ayat penutup: “Mohon jadikan ini berlaku dalam cara dan situasi terbaik buat diri saya serta semua yang terlibat.”
- Tampal impian kita dalam buku atau tempat yang mudah kita lihat hari-hari supaya kita konsisten visualize.
Itu sahaja. Nantikan keajaiban yang berlaku dalam kehidupan.
Betul Ke Menjadi?
Saya telah mengkaji tentang manifestation, visualization, law of attraction atau apa sahaja hukum alam atau hukum minda sejak 2013 lagi.
Boleh dikatakan hampir segala yang saya hajati menjadi kenyataan.
Kebiasannya apabila kita tetapkan seuatu impian secara jelas lagi boleh membayangkan telah memilikinya, ini yang akan berlaku.
Kita akan dapat banyak tanda-tanda kecil yang berlaku dalam hidup kita.
Katakanlah kita mahu tingkatkan pendapatan bulanan. Secara tiba-tiba banyak peluang buat duit datang dengan mudah. Kita hanya perlu buat sedikit sahaja.
Kadang-kadang tanda-tandanya tak jelas. Mungkin keluarga/rakan kita dapat bonus yang banyak, mungkin kita terjumpa duit, mungkin ada orang beri kita duit secara tiba-tiba walaupun tak banyak.
Itu semua tanda-tanda awal. Jangan pandang rendah pada tanda-tanda kecil ini sebab setiap kali ia berlaku dan kita menghargai dan meraikan tanda-tanda kecil ini maka tanda-tanda besar akan mengikutinya dengan mudah.
Kuncinya sentiasa menghargai dan berterima kasih sepenuh hati setiap apa yang berlaku.
Contohnya, jumpa wanita idaman. Walaupun 4 daripada 7 ciri dah ada. Raikan kejayaan tersebut walaupun putus cinta. Jangan risau itu memang perkara biasa berlaku.
Datang, pergi, datang, pergi. Terima sahaja kesemuanya. Oleh kerana setiap apa yang berlaku adalah persediaan untuk akan datang.
Kalau kita tak terima di mana kita berada sekarang, kita tak akan maju kehadapan.
Terima sepenuhnya walaupun terlambat atau tercepat daripada tarikh yang ditetapkan. Terimalah dengan sepenuh rasa.
Dan bila sudah sampai masanya, kita akan dapat yang terbaik pada masa yang tepat. Pada saat itu kita akan rasa, “Lucky betul aku.”
Sedangkan sebenar-benarnya kita telah pilih perkara tersebut berlaku sebelum ia berlaku lagi.
Dapat sebelum dapat. Rasa sebelum rasa. Jadi sebelum jadi.
#MulakandenganKematian
Nota: Ini adalah sedikit sebanyak pengenalan untuk manifest apa yang kita hajati, kalau anda mahu aplikasi teknik manifestation yang paling hebat/dahsyat yang pernah saya jumpa yakni success rate-nya melebihi 99%, boleh kaji dan apply teknik Cybernetic Transposition.
Jika anda berminat untuk dapatkan update terkini daripada saya boleh masukkan emel anda di bawah:
Terima kasih!
Jumpa lagi 🙂
~ Danial.